Thursday 9 January 2014

Entry Pengenalan Diri & Manfaat yang Bakal Diperolehi Dari Blog Ini

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum pembuka bicara,
Pagi nan indah terang bercahaya,
Marilah semua mengenali diri saya,
Wanita biasa gigih untuk BERJAYA.

Terlebih dahulu, dipanjatkan kesyukuran yang tiada terhingga ke hadrat Illahi, diatas segala limpah dan kurnianya, saya masih lagi mampu untuk bernafas, menghirup udara segar, mendengar suara tangisan anak-anak kecil, melihat mereka membesar, membelai mereka dengan kedua belah tangan sendiri, memenuhi keperluan mereka selagi hayat dikandung badan. Alhamdulillah.

Saya hanyalah seorang wanita biasa sama juga seperti anda, namun di dalam hati saya terlalu berkobar-kobar untuk keluar dari kepompong yang ada. Keluar dari kehidupan yang biasa. Ingin mencipta dan mencapai kejayaan, kegemilangan kehidupan. Bermakna, sempurna untuk bekalan akhirat hendaknya. In shaa Allah.

Saya anak sulung dari 7 adik beradik. Tanggungjawab juga besar, membantu keluarga. Terima kasih kepada Ayahanda Abd Rahman Mohamed dan Bonda tercinta Kamsiah Dolmat kerana menjaga dan membesarkan saya seadanya. Saya berterima kasih juga kepada adinda Suzilyana, kerana ketiadaan saya sepanjang menuntut ilmu di menara gading, dia yang mengambil alih tugas di rumah. Malah sanggup menguburkan niat untuk sambung pelajaran dek kerana ingin membantu keluarga dan melihat saya berjaya. Terima kasih yang tidak terhingga.

Dari alam Universiti, di dalam fikiran telah tertanam, kalau berjaya sekalipun, belum tentu hidup senang, hidup mewah. Dari situ saya berjinak-jinak dengan dunia bisnes. Mencari duit poket. Dengan harapan dapat meringankan beban keluarga. Sedikit sebanyak dapat juga membantu. Saya terlibat di dalam bisnes MLM. Dari dulu dan sehingga kini masih ramai yang benci dan lari lintang pukang jika dengar MLM, betul?

Kenapa? Sebab, mereka yang tidak terlibat sebenarnya tidak faham konsep bisnes itu sendiri. Bukan kerana mereka membenci, mungkin juga mereka mempunyai pengalaman pahit di dalam MLM, tidak boleh salahkan mereka jika berfikiran negatif. Walau ramai yang benci bisnes sebegitu, saya tetap menjalankan bisnes saya. Perkara ini berlarutan sehingga menempuh alam pekerjaan. Usah di tanya entah berapa banyak bisnes yang telah saya sertai. Tidak terkira. Dari A - Z. Semua sudah saya cuba, namun rezeki tidak memihak kepada saya. Wang ringgit usah cerita, banyak yang lebur dan terkubur, namun apa yang paling penting saya perolehi sepanjang tempoh itu, adalah pengalaman. Pengalaman yang mengajar saya erti kematangan. Dan saya boleh kenal potensi diri sendiri. Malangnya, saya tidak FOKUS. Itu masalah saya.

Saya perlu akur kesilapan besar itu. Dan disebabkan itu jugalah sehingga kini sudah berumah tangga saya masih lagi mencari peluang bisnes yang boleh saya ceburi, tetapi kini matlamat sedikit berbeza. Kalau dulu, membantu keluarga saya sendiri, tetapi kini lebih untuk meringankan beban suami dan yang paling penting niat untuk berhenti kerja dalam masa 2-3 tahun akan datang. Ingin membesarkan zuriat dengan tangan sendiri, In shaa ALLAH. Kalau diizinkan ALLAH lebih cepat, Alhamdulillah.

Alam pekerjaan ditempuh dengan pelbagai kerenah manusia dan persekitaran. Terkadang terfikir juga Sampai bila? Masih di takuk lama, masa, gaji dan segalanya ditentukan orang atasan. Memiliki segulung Ijazah tidak menjamin gaji dan pangkat yang ditawarkan berbaloi dengan usaha selama ini. Bebanan kerja semakin meningkat tiada kesudahan, isu halal dan haram bagai tiada noktahnya, politik di tempat kerja tiada penghujungnya.

Bukan mudah untuk mencapai ke tahap seperti sekarang. Pelbagai dugaan perlu diharungi, terima kasih buat majikan yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas ini serta menawarkan gaji dan pangkat yang sememangnya cukup selesa buat masa sekarang. Tetapi, di dalam hati tidak pernah terpadam niat untuk meletakkan jawatan satu hari nanti.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, sedang saya melayari Laman Muka Buku, mata saya tertarik membaca satu pernyataan, "kelas online, asas penulisan blog, dan fan page. Terdetik di dalam hati saya, ini juga satu peluang. Tanpa perlu menghadiri kelas secara fizikal saya juga mampu untuk belajar di samping menjalankan bisnes. Selain daripada menjana pendapatan, saya juga boleh merangka aktiviti perniagaan untuk masa akan datang. Hebat! Perkataan yang terpacul dari mulut saya. Alhamdulillah masih ada ruang dan peluang melalui insan yang sudi membantu. Saban hari saya menjadi "silent reader" entri Puan Anys Zakaria. Sehinggalah pada satu hari di dalam tempoh berpantang, saya memberanikan diri untuk menghubungi beliau melalui ruangan mesej di dalam FB. Mulai perbualan kami dari situlah titik tolak, saya berminat dengan blog.

Harapan saya, semoga impian saya tercapai, menjana pendapatan di samping mendapat keredhaan Allah S.W.T hendaknya dan saya boleh berhenti kerja secepat mungkin. Jutaan terima kasih buat buah hati tersayang, Razi Tamin kerana memberi izin untuk saya berbisnes, berkongsi info dan rasa melalui blog. Buat anak-anak permata hati, "doakan ibu sayang". Tidak lupa buat Pengasas Puan Masayu Ahmad, kerana mewujudkan peluang sebegini. Terima kasih. Buat pendidik saya, Puan Anys Zakaria, terima kasih kerana memperkenalkan blog kepada saya sehingga saya jatuh cinta untuk terus menulis. Cuma, jangan serik ya mengajar saya. Sayang anda semua. Doa saya tetap mengiringi anda semua. Amin.

2 comments:

  1. Assalammualaikum... salam ziarah.. semoga puan sukses

    kuazue.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam dear Kuazue Mohd. ♥♥♥

      Delete